Ada lagi yang akan dipanggil SPRM
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan panggil lebih ramai individu berhubung siasatan kes penyelewengan dana RM40 juta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (SDFC).
Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, siasatan masih dijalankan dan orang ramai diminta bersabar serta memberi ruang serta masa kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan.
"Kita akan panggil lebih ramai individu dan rampas dokumen yang berkaitan sekiranya perlu," katanya ketika sidang media seleps majlis penutupan Kembara Jelajah Anti Rasuah 2017 (Kejar '17) hari ini.
Setakat ini, seramai lima individu iaitu pengarah syarikat, penolong pegawai kewangan, setiausaha, ketua eksekutif dan setiausaha politik, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot sudah ditahan bagi membantu siasatan dan mereka direman selama enam hari.
Suspek didakwa bekerjasama dengan pengarah syarikat untuk menyeleweng peruntukan yang diberikan kerajaan sejak dua tahun lalu.
Dalam perkembangan berasingan, Dzulkifli berkata, pihaknya akan memulakan proses saringan senarai calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 yang sudah diserahkan kepadanya.
"SPRM akan melakukan saringan yang perlu dan maklumkan kepada calon terbabit keputusannya, namun ia terserah kepada parti untuk membuat keputusan.
"Ketika ini, hanya calon akan melalui ujian saringan, tidak termasuk keluarga mereka," katanya.
Pada majlis itu, Dzulkifli turut memaklumkan SPRM cuba melengkapkan siasatan akhir pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di London dan Kuching, Sarawak secepat mungkin.
Katanya, SPRM cuba menghantar kertas siasatan lengkap kepada bahagian pendakwa sama ada minggu depan atau berikutnya.
Sumber : Harian Metro
Comments
Post a Comment