Bomoh Cabul tiga beradik ditangkap


BINTULU: Seorang bomoh berusia 60 tahun ditangkap oleh polis Bintulu apabila disyaki mencabul tiga adik beradik yang mendapatkan rawatan dalam tiga insiden berasingan, bulan ini.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superitenden Zulkipli Suhaili (gambar) berkata, suspek memperdayakan mangsa dan keluarga mangsa dengan memberitahu mangsa mempunyai masalah tidak disukai rakan-rakan mangsa.

Katanya, suspek menawarkan mangsa untuk mandi air jampi untuk rawatan, dan semasa rawatan dibuat tanpa disedari keluarga mangsa, suspek dikatakan telah mencabul mangsa.

"Pada 22 September, mangsa yang ketiga telah memaklumkan kepada keluarganya mengenai perbuatan bomoh tersebut dan keluarga mangsa telah membuat laporan polis sekali gus menyerahkan kes suspek kepada pihak polis untuk tindakan," katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, hari ini.

Susulan itu katanya, tangkapan telah dibuat oleh polis Bintulu ke atas lelaki tersebut dan permohonan reman telah dibuat selama tujuh hari bermula hari ini (23 September) hingga 29 September ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

Dalam pada itu Supt Zulkipli menasihati masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan seseorang yang menggelar diri mereka sebagai bomoh yang mampu mengubati penyakit dan sebagainya yang belum ada kesahihan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, tiga laporan polis telah dibuat oleh tiga mangsa yang adik beradik perempuan berumur 17, 16 dan 11 tahun.

Katanya, kejadian pertama berlaku pada 2 September lalu membabitkan mangsa berumur 11 tahun yang di bawa keluarga mangsa untuk menemui bomoh tersebut di kuarters pekerja bagi tujuan untuk penyembuhan.

"Manakala kejadian kedua pula melibatkan kakak mangsa berumur 17 tahun juga di bawa berjumpa bomoh itu pada 10 September 2017.

"Diikuti kejadian ketiga ke atas seorang lagi kakak mangsa berumur 16 tahun di bawa berjumpa dengan bomoh tersebut pada 22 September 2017," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, kes terbabit telah membawa kepada laporan polis oleh mangsa malam semalam dan pemeriksaan perubatan juga telah dibuat ke atas mangsa.

Source: http://www.utusanborneo.com.my/2017/09/23/bomoh-cabul-tiga-beradik-ditahan

Comments

Popular Posts