Maut disambar petir
![]() |
| TRAGIS: Bapa mentua mangsa di sisi mayat mangsa sementara menunggu siasatan polis dijalankan di tempat kejadian. |
KUCHING: Seorang lelaki terbunuh selepas dipercayai disambar kilat dalam satu insiden di sebuah tapak pembinaan di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub di sini sekitar jam 2.30 petang semalam.
Mangsa, Nasion Raby Tangik berusia 26 tahun ketika kejadian bersama bapa mentua serta seorang lagi rakannya dikatakan sedang memasang besi perangka bangunan di tingkat atas bangunan tersebut.
Difahamkan, cuaca semasa kejadian kurang baik dan mendung apabila mangsa dikatakan tiba-tiba disambar petir di kepala.
“Kami ketika itu sedang memasang besi perangka di tingkat satu apabila dia (mangsa) tiba-tiba rebah selepas dilihat seperti disambar petir di kepalanya, malah topi yang dipakainya juga terjatuh akibat kejadian tersebut.
“Kami cuba menahannya daripada terjatuh sementara menunggu bantuan daripada rakan lain,” kata bapa mentua mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Engkabang.
Tambahnya, mangsa baharu tiga bulan bekerja di tapak pembinaan tersebut.
Rakan mangsa yang menyedari insiden itu segera memaklumkan majikan mereka yang terus menghubungi anggota paramedik serta pihak polis.
Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu siasatan lanjut telah dijalankan di tempat kejadian.
“Polis dan paramedik hospital yang hadir di lokasi kejadian telah mengesahkan kematian mangsa dan siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mangsa meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan.
Mayat mangsa yang berasal dari Rumah Jenggung Sungai Lajan, Song kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat.
Sumber : Utusan Borneo



Comments
Post a Comment