PPM rampas balak bernilai lebih RM500,000

ANGGOTA PPM memeriksa balak yang ditemui.
KUCHING: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak, menyusuri hingga ke hulu Sungai Baleh, bagi mengesan kegiatan pembalakan haram di kawasan pedalaman Kapit itu.
Usaha itu berbaloi apabila sejumlah balak bernilai RM535,500 yang disyaki ditebang secara haram dikesan di Nanga Meramah, Kapit, semalam.
Komander PPM Wilayah 5, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman, berkata dalam operasi jam 12.15 tengah hari itu, pihaknya dan beberapa agensi penguatkuasaan lain merampas 469 kayu balak pelbagai jenis dan saiz.
Katanya, untuk sampai ke lokasi penemuan balak itu, pihaknya bukan sahaja terpaksa menempuh perjalanan kira-kira lapan jam dari Kapit, malah berdepan pelbagai halangan dipercayai bagi melambatkan pergerakan mereka.
"Namun semua kesukaran itu berbaloi apabila pemeriksaan di kawasan berkenaan, pasukan operasi menjumpai sejumlah balak pelbagai saiz dan jenis seperti meranti, kapur dan jelutong yang disyaki telah ditebang secara haram.
"Semua balak balak itu didapati tidak mempunyai cop Jabatan Hutan Sarawak," katanya pada sidang media, di sini, petang tadi.
Salehuddin berkata, semua balak yang dirampas itu diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan lanjut.
"Ini adalah rampasan balak haram yang ke-29 oleh PPM Wilayah 5 bagi tempoh Januari hingga September ini dengan nilai rampasan yang direkodkan adalah kira-kira RM6.8 juta," katanya.
 Sumber: Berita Harian

Comments

Popular Posts