'Sapu bersih' menyebabkan tauke judi gulung tikar
Megat Mohamad Aminuddin (kanan) melihat mesin judi yang dirampas. |
Serdang: Operasi ‘sapu bersih’ mesin judi haram sekitar daerah ini benar-benar menyebabkan tauke judi gulung tikar atau terpaksa berpindah lokasi.
Ini dibuktikan apabila sebanyak 2,924 komputer dan mesin judi dalam talian dan wang tunai lebih RM23,000 berjaya dirampas polis bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, jumlah rampasan itu diperoleh hasil 294 serbuan yang dijalankan di daerah ini dalam tempoh berkenaan.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos lalu, kami merampas 2,924 mesin judi merangkumi komputer yang dijadikan mesin judi dalam talian dan mesin simulator, selain wang tunai berjumlah lebih RM23,000 dipercayai hasil kegiatan itu.
“Rampasan mesin judi berkenaan dibuat hasil 294 serbuan yang dijalankan di sekitar daerah ini dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Megat berkata, pihaknya juga berjaya menahan 315 individu membabitkan pemain dan penjaga premis dalam serbuan itu.
“Seramai 315 individu sama ada pemain atau penjaga premis membabitkan warga tempatan dan asing berusia antara 18 dan 65 tahun ditahan.
“Daripada jumlah tangkapan itu, sebanyak 294 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 7 Akta Rumah Judi Terbuka 1953 membabitkan 205 kes sudah dituduh di mahkamah, manakala 89 kes lagi masih dalam siasatan,” katanya.
Sumber : Harian Metro
Comments
Post a Comment