23 hari bicara kes bunuh Jong-nam
![]() |
| DUA tertuduh kes pembunuhan Kim Jong-nam dibawa masuk ke Mahkamah Tinggi Shah Alam. FOTO Iskandar Shah Mohamed |
MALAYSIA kembali menjadi tumpuan dunia apabila kes perbicaraan dua wanita warga asing dituduh membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, memasuki hari pertama, di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.
Tinjauan Harian Metro mendapati kedua-dua tertuduh, Siti Aisyah, 25, iaitu warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, (Vietnam) tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 8 pagi.
Mereka yang berpakaian ‘vest’ hitam polis diiringi dan dikawal ketat sepasukan anggota polis yang menaiki beberapa kenderaan polis.
Berpuluh petugas media termasuk wartawa asing mula memenuhi kawasan luar Kompleks Mahkamah itu seawal kira-kira 5 pagi.
Bagaimanapun, hanya 20 wakil media diberi kebenaran memasuki mahkamah untuk membuat liputan prosiding perbicaraan itu.
Kaunter pendaftaran masuk mula dibuka pada 7.30 pagi dan ditutup pada 8.30 pagi.
Motif dan misteri di sebalik peristiwa pembunuhan Jong-nam, Februari lalu, bakal terungkai sepanjang kes perbicaraan yang dijangka berlangsung 23 hari.
Ia antaranya menjawab persoalan mengenai dua wanita asing yang juga suspek pembunuhan itu, sama ada mereka diperangkap, diupah atau sebenarnya memang ejen Korea Utara.
Pada 28 Julai lalu, Hakim Datuk Azmi Ariffin, ketika prosiding sebutan kes menetapkan tempoh perbicaraan.
Dalam prosiding ketika itu, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan hanya akan direkodkan hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan pihaknya akan memanggil antara 30 hingga 40 saksi.
Ini termasuk 10 pakar bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.
Pada 1 Mac lalu, kedua-dua tertuduh bersama empat individu lain yang masih bebas didakwa membunuh Jong-nam di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2), Sepang.
Insinden berkenaan berlaku pada kira-kira 9 pagi, pada 13 Februari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diketuai Muhamad Iskandar manakala Siti Aisyah diwakili peguam Gooi Soon Seng dan peguam Hisyam Teh Poh Teik bagi pihak Doan.
Jong-nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara Kim Jong-il, hidup dalam buangan di China dan Asia Tenggara selama beberapa tahun selepas bergaduh dengan bapanya.
Mendiang yang memiliki pasport tertera, Kim Chol meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya dan dilaporkan berada di Malaysia sejak 6 Februari.
Pembunuhan itu kemjudian mencetuskan sedikit perbalahan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara.
Ia menyaksikan kedua-dua negara melarang warga masing-masing meninggalkan Malaysia dan Korea Utara dan mengundurkan duta masing-masing.
Bagaimanapun, larangan dibatalkan pada hujung Mac lalu selepas suatu perjanjian tercapai berhubung pemulangan mayat Jong-nam ke Korea Utara.
Sumber : Harian Metro



Comments
Post a Comment