'Saya cuba bantu'

KAYAK yang dipercayai digunakan oleh salah seorang mangsa yang dikhuatiri lemas selepas kayak yang dinaiki terbalik di Pantai Tanjung Tuan, Port Dickson, jam 4.14 petang tadi. - Foto Mohd Khidir Zakaria

PORT DICKSON: Seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian kayak terbalik di Pantai Tanjung Tuan di sini petang tadi, cuba membantu dua rakannya namun gagal.
Foo Siew Wan, 54, dari Petaling Jaya, Selangor berkata, ketika dia bersama dua rakannya berkayak menggunakan kayak masing-masing, mereka tiba-tiba terperangkap di kawasan pusaran air.
"Saya cuba membantu seorang rakan yang kayaknya terbalik tetapi gagal. Seorang lagi rakan ketika itu berusaha meneruskan kayuhan tetapi gagal dan akhirnya kayaknya juga terbalik.
"Saya segera berpatah balik ke darat untuk meminta bantuan polis dan bomba bagi mencari dua lagi rakan yang hilang," katanya ketika ditemui di sini, tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang tadi, How Yoong Loong, 62, dan Leow Shak Kwan, 54, dipercayai lemas selepas kayak mereka terbalik.
Siew Wan berkata, ini adalah kali pertama dia berkayak di kawasan itu dan tidak tahu kawasan ini mempunyai pusaran air dan ombak kuat.

Sumber : Berita Harian

Comments

Popular Posts