Tiada unsur pemujaan
![]() |
| HISTERIA: Keadaan sebilangan peserta yang dibawa keluar untuk ditenangkan kerana terkena histeria di DUN Lama semasa Festival Praktikum Seni Peringkat Negeri Sarawak 2017 malam kelmarin. |
Festival Praktikum Seni Peringkat Negeri Sarawak 2017 tiada unsur pemujaan yang menyebabkan peserta alami histeria
KUCHING: Festival Praktikum Seni Peringkat Negeri Sarawak 2017 tidak mempunyai unsur upacara pemujaan yang menyebabkan kalangan pesertanya mengalami histeria malam kelmarin (Sabtu).
Demikian kenyataan wakil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Seni Sarawak Easter Melebeh ketika dihubungi Utusan Borneo meminta maklum balas mengenai kejadian misteri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama itu.
“Tidak ada apa-apa kaitan dengan upacara pemujaan dan sebagainya, pihak kami juga tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya kerana ia berlaku secara tiba-tiba.
“Tujuan penganjuran adalah untuk memelihara, memulihara dan mengekalkan kesenian dan kebudayaan Sarawak selain menjadikan ia proses mempromosikan budaya di sini.
“Memang kumpulan Seladai yang terdiri daripada peserta dari Mukah, Kuching dan Bintulu ada membuat persembahan tarian yang berkaitan dengan perubatan suku kaum Melanau dalam persembahan mereka ‘Mencari Puteri Yang Hilang’ tetapi ia tidak ada kaitan langsung.
“Mungkin peserta sebenarnya tertekan dan letih kerana telah menjalani latihan selama seminggu sejak 23 September lalu… tetapi jangan kita membuat andaian itu dan ini,” katanya menegaskan.
Peserta yang mengambil bahagian terdiri daripada peserta dari seluruh bahagian di Sarawak yang dipecahkan dalam empat kumpulan membuat persembahan bagi merebut gelaran johan pertandingan festival berkenaan.
Pihak Majlis Seni Sarawak bagaimanapun akan mengadakan mesyuarat hari ini bersama agensi terlibat untuk melihat kemungkinan menunda pertandingan tersebut ke hari lain.
Sementara itu Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin juga ketika dihubungi semalam, berkata beliau masih menunggu laporan terperinci daripada para pegawainya.
“Saya tidak tahu berapa orang yang terkena histeria pada malam itu, tetapi saya dimaklumkan bahawa kumpulan ketiga dan keempat iaitu K.S.S Team (peserta dari Kapit, Samarahan dan Serian) juga Bentan Tandak Emas (Miri, Serian dan Sibu) tidak dapat membuat persembahan pada malam itu.
“Seingat saya pada malam itu, kumpulan Ohhaaa sedang membuat persembahan lagipun muzik agak kuat.
“Tiba-tiba sahaja... jadi pihak juri juga tidak dapat mengumumkan siapa pemenang pada pertandingan tersebut.
“Kerana beberapa peserta daripada kumpulan tiga dan empat terkena histeria.
Justeru kami beredar sekitar jam 9.30 malam selepas menyampaikan sijil penyertaan kepada juri yang mewakili kumpulan tersebut,” jelasnya kemudian.
Ada juga sebilangan penonton yang dikatakan terkena histeria pada malam tersebut.
Sumber : Utusan Borneo



Comments
Post a Comment