Jumpa mayat lelaki dibungkus selimut



MAYAT lelaki warga asing yang dibungkus selimut ditemui di tepi Jalan Kasban, Meru, hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, dalam kejadian 2 pagi itu, saksi yang melalui jalan berkenaan ternampak dua lelaki menunggang motosikal mengheret sesuatu untuk dibawa naik ke motosikal berkenaan.
Bagaimanapun katanya, menyedari kehadiran saksi itu, dua lelaki terbabit mengeluarkan parang sebelum saksi bergegas pergi.
"Mayat itu mungkin terjatuh dan dua lelaki itu cuba mengangkatnya ke motosikal.
"Saksi lelaki berusia 20-an yang menaiki motosikal itu kemudian terus ke Balai Polis Meru membuat laporan.
"Sepasukan anggota ke lokasi dan menemui mayat lelaki dibungkus selimut di tepi jalan itu," katanya.
Beliau berkata, terdapat beberapa kesan tikaman antaranya di dada, perut, belakang badan serta kecederaan di kepala.
Katanya, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tiada suntikan Bacillus Calmette-Guerin (BCG).
Mazelan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber : Harian Metro

Comments

Popular Posts