Polis cari lelaki ini



POLIS Terengganu meminta seorang lelaki yang terbabit dalam kejadian rogol hadir bagi mendengar keputusan kes berkenaan di Mahkamah Sesyen 2 Kuala Terengganu pada 29 November ini.
Mohd Fakhrul Nizam Abdul Hamid, 22, dikehendaki hadir bagi mendengar keputusan kes yang dibicarakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, pihaknya gagal mengesan lelaki terbabit berdasarkan alamat terakhirnya di Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga.
Beliau berkata, lelaki terbabit yang berdepan pertuduhan rogol sebelum ini mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan dan dibebaskan dengan jaminan.
"Dalam tempoh perbicaraan bermula Januari tahun lalu, lelaki terbabit sentiasa memberi kerjasama namun gagal hadir pada tarikh jatuh hukum iaitu pada 7 November lalu.
"Malah, kita ada melakukan serbuan di rumahnya namun ahli keluarga tidak tahu lokasi sebenar lelaki terbabit," katanya.
Idris berkata, pihaknya berharap lelaki terbabit segera tampil untuk mendengar keputusan pada 29 November ini.
Katanya, ahli keluarga atau mana-mana individu yang mengenali lelaki terbabit diharapkan boleh membantu menyalurkan maklumat kepada polis.

Sumber : Harian Metro

Comments

Popular Posts