'Syok dah sunat' kata Ming Xuan


“ANAK saya yang nak berkhatan dengan kanak-kanak lain. Mereka teruja dan gembira ketika disembur air oleh anggota bomba.”
Itu kata Lee Kaw Seng, 40, bapa kepada tiga beradik yang berkhatan serentak dalam majlis anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Mahsuri, di Dewan Orang Ramai Taman Mahsuri, Jitra, hari ini.
Malah, kehadiran Lee You Jin, 4; Lee You Quan, 7, dan Lee Ming Xuan, 10, turut mencuri tumpuan orang ramai yang dikhatankan bersama 57 kanak-kanak berusia 4 hingga 11 tahun.


Kaw Seng berkata, tinggal di kawasan kejiranan Melayu menyebabkan dirinya dan anak-anak tahu kebaikan berkhatan untuk kebersihan dan kesihatan diri.
“Sebaik mengetahui ada majlis berkhatan dianjurkan pihak KRT, saya terus bertanya dengan anak-anak sama ada mahu berkhatan.
“Anak-anak saya pun berkawan dengan Melayu menyebabkan mereka tidak pelik sebaliknya teruja,” katanya ketika ditemui selepas anaknya selamat dikhatan, hari ini.


Nenek mereka, Bok Yat Choo, 59, berkata, dia sudah membuat persiapan dari segi makanan sejak seminggu lalu bagi menjaga cucunya sepanjang proses untuk sembuh.
“Mereka perlu berpantang kerana tidak semua makanan boleh dimakan,” katanya.
Ming Xuan pula berkata, walaupun pedih ketika berkhatan namun dia berjaya mengawal perasaan dan tidak menangis.
“Saya suka dan gembira kerana sudah selamat dikhatankan serta tidak sabar ingin kembali pergi berenang selepas sembuh nanti,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Mahsuri, Ahmad Shaker Ahmad berkata, majlis ini kali pertama diadakan pihaknya di taman ini yang mendapat 60 penyertaan.
“Pada mulanya saya hanya membuka kepada 50 peserta. Tapi, dapat permintaan tinggi menyebabkan kita tambah 10.
“Itupun masih tidak cukup. Tetapi kita tidak boleh menerima lagi kerana mengambil kira kos majlis ini.
“Mereka hanya perlu membayar RM30 manakala kos lain dibayar KRT yang mendapat dana daripada sumbangan pelbagai pihak,” katanya.
Menurutnya, kanak-kanak juga diraikan dengan menaiki 4WD Kubang Pasu Jerlun (KPJ) sebelum diarak di sekitar taman ini.
“Kita akan memperhebatkan lagi penyertaan pada tahun akan datang dan berharap lebih ramai kaum lain dapat menyertai majlis ini," katanya.

Sumber : Harian Metro

Comments

Popular Posts