128 Negara Tolak Iktiraf Baitulmaqdis Ibu Kota Israel
RASMI… Sejumlah 128 negara tidak mempedulikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump apabila mengundi untuk menolak Baitulmaqdis sebagai ibu kota baharu negara haram Israel.
Mereka malah menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Washington DC menggugurkan keputusannya untuk mengiktiraf bandar purba tersebut sebagai ibu negara haram rejim Yahudi.
Sejumlah 128 negara termasuk Malaysia bertegas mengundi untuk menyokong resolusi PBB yang tidak mengikat tersebut iaitu tidak perakui Baitulmaqdis sebagai ibu kota rasmi rejim Zionis manakala cuma sembilan menolak.
Sementara itu hanya 35 negara berkecuali dan 21 lagi tidak mengundi dalam proses pengundian yang kemudian disahkan pada pukul 12.13 tengah hari Khamis waktu New York (bersamaan 1.13 pagi Jumaat waktu Malaysia).
Trump sebelum itu telah mengancam untuk memotong bantuan kewangan kepada negara-negara yang mengundi menyokong resolusi itu. Nampaknya ancaman Trump itu jelas tidak mempunyai kesan besar kepada usaha PBB.
Banyak negara bagaimanapun bertindak mengundi berkecuali dan menolak resolusi itu pada saat-saat akhir, sekali gus menjejaskan ramalan pelbagai pihak untuk Palestin mendapat lebih undian bagi sokong usul PBB tersebut.
Selepas pengundian itu, Duta AS ke PBB, Nikki Haley, menulis di Twitter bahawa AS “akan catat nama mereka” setelah mendapati ia terasing apabila ramai sekutu Barat dan Arab pun turut mengundi menyokong resolusi itu.
Sebahagian daripada mereka, seperti Mesir, Jordan dan Iraq, adalah penerima utama bantuan ketenteraan atau ekonomi dari AS, walaupun ancaman Trump untuk memotong bantuan itu tidak menamakan mana-mana negara.
Antara negara yang berkecuali ialah Argentina, Australia, Bhutan, Bosnia, Colombia, Croatia, Czech, Fiji, Filipina, Hungary, Jamaica, Kanada, Malawi, Mexico, Paraguay, Poland, Rwanda, Sudan Selatan, Uganda dan Vanuatu.
Namun hanya Guatemala, Honduras, Kepulauan Marshall, Micronesia, Nauru, Palau dan Togo turut bersama-sama dengan AS dan Israel sebagaimana yang dijangka tetap mengundi untuk menolak resolusi tergempar PBB itu.
Jurucakap Presiden Palestin yang disokong oleh Barat, Mahmoud Abbas menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu “kemenangan Palestin.” Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak keputusan pengundian itu.
Honduras terpaksa undi tolak usul itu selepas AS memberi isyarat akan iktiraf Juan Orlando Hernandez sebagai pemenang pilihan raya presiden setelah dinafikan Pertubuhan Negara Amerika atas dakwaan berlaku penipuan.
Jiran AS, Mexico telah selaras dasar luar lebih dekat dengan Washington DC dalam apa dirujuk diplomat sebagai cubaan imbang ancaman tarik diri daripada perjanjian dagangan bebas selepas pilihan raya presiden AS tahun lalu.
Ironi, dua sekutu AS iaitu Britain dan Perancis selain dua lagi anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, Rusia dan China turut sokong usul itu sekali gus enggan iktiraf Baitulmaqdis ibu kota Israel. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Sumber : MyNewsHub.cc
Comments
Post a Comment