Diculik, dikurung, dirogol selama seminggu
KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun diculik, dirogol dan dikurung sekumpulan enam lelaki, dipercayai kerana perselisihan faham antara suspek utama dengan teman lelaki mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mior Farid Al Atrash Wahid berkata, suspek utama yang juga merupakan penjenayah dikehendaki dipercayai bertindak demikian berikutan kegagalan teman lelaki mangsa membayar hutang berkaitan jual beli dadah.
"Suspek utama berusia 50-an memiliki 33 rekod jenayah lampau dan dikehendaki untuk kes samun, kurungan salah, dadah, memiliki senjata berbahaya dan ugutan jenayah.
Mangsa berjaya diselamatkan oleh pasukan khas anggota Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah setelah menerima maklumat pada Isnin lalu.
Polis kemudiannya bertindak menahan kesemua enam suspek berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun, termasuk suspek utama dalam serbuan di rumah seorang daripada suspek berkenaan di Kuala Sungai Yan, Alor Setar pada pagi Khamis.
Polis turut merampas dua kenderaan jenis Proton Perdana dan BMW, dua motosikal berkuasa tinggi, helmet pelbagai jenis, telefon bimbit, televisyen dan monitor serta beberapa unit pembesar suara.
Tambah Mior Farid, mangsa yang dikurung di sebuah stor di rumah tersebut berada dalam keadaan lemah dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Jumaat untuk mendapatkan perintah reman.
Sumber : Astro Awani
Comments
Post a Comment