Ditemui mati selepas 11 hari hilang



MAYAT lelaki ditemui di tepi jalan Kampung Baru Sungai Mas, Kota Tinggi, hari ini, dipercayai sudah ditinggalkan beberapa hari di lokasi itu.
Penemuan mayat itu sekali gus menjadi jawapan kepada kehilangan seorang lelaki yang tular di laman sosial Facebook Orang Kota - Tinggi.
Menurut ahli keluarga yang enggan dikenali, mayat berkenaan sudah disahkan sebagai Chew Kah Chun, 24, yang dilaporkan gagal dikesan selepas keluar dari rumah di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, pada 3 Disember lalu.
"Pagi ini, kami mendapat berita tentang penemuan satu mayat di Kampung Baru Sungai Mas yang dipercayai adalah Chew. Beberapa ahli keluarga bergegas ke lokasi penemuan mayat itu dan mendapati benar itu adalah Chew.
"Kini, mayat Chew sudah dibawa ke hospital di Johor Bahru untuk bedah siasat dan kami menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti punca kematiannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, semua ahli keluarga amat bersedih dengan berita penemuan mayat itu, namun sekurang-kurangnya lega apabila usaha mencari Chew selama 11 hari terjawab.
Berita kehilangan Chew dimuat naik di FB sejak 4 Disember lalu yang meminta orang ramai membantu mengesan lelaki itu yang tidak pulang ke rumah sejak 3 Disember.
Menurut laporan polis dibuat adiknya pada 4 Disember, dia mendakwa Chew keluar rumah dengan memandu Proton Persona untuk mencari orang di Air Tawar 4, bagaimanapun tidak pulang ke rumah sehingga laporan polis dibuat.
Dakwanya, ada yang ternampak kereta mangsa dipandu di Jalan Lok Heng menyebabkan ahli keluarga bimbang ada perkara yang tidak baik berlaku kepada mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah mengesahkan tentang penemuan satu mayat lelaki.
"Disahkan jumpa satu mayat lelaki di tepi jalan Kampung Baru Sungai Mas pada 11 pagi tadi," katanya.

Sumber : Harian Metro

Comments

Popular Posts