Hanya jual wajah pelakon



Filem genre perlumbaan di Malaysia bukan baru dalam sinema tempatan sedari dulu.
Filem seperti Gangster, Impak Maksima, Evolusi KL Drift dan Kampung Drift antara yang mempunyai jalan cerita, aksi dan lengkungan karakter yang berjaya menarik perhatian penonton tempatan.
Malangnya, filem kedua arahan Pekin ini seolah lupa untuk membentuk jalan cerita dan lengkungan karakter yang sewajarnya.
Lakon layar KL Wangan sangat lemah sehinggakan penonton kurang faham ke manakah arah tuju filem yang sebenarnya.
Suntingan dari babak ke babak sangat
mengelirukan dan tiada fokus. Lebih menambah kekecewaan pada lengkungan karakter watak Donny Alamsyah yang muncul beraksi di babak pembukaan, babak imbas semula, babak pembukaan dan babak akhir.
Begitu juga perasaan kecewa pada lengkungan karakter watak Kodi Rasheed dan Kamarul Haji Yusof yang disia-siakan begitu saja.


Namun begitu, Faizal Hussein sebagai Yudi dan Emily Lim sebagai Olivia dianggap penyelamat kepada kelemahan lakonan daripada barisan pelakon sedia ada.
Di segi teknikal, teknik pencahayaan, kerja kamera dan sinematografi berjaya diletak pada tempat sepatutnya.
Malah, grafik ala komik pada babak awal turut memberi kelainan pada filem ini.
Tapi jika dilihat secara keseluruhan, itu sajalah elemen yang dapat memukau penonton. Padahal perkara wajib mengenai lakon layar, skrip dan karakter tidak diambil peduli.
Boleh dikatakan, KL Wangan hanya menjual wajah pelakon dan jenis jentera lumba yang digunakan.
Teguran jujur buat Pekin, tahu mengarah dan teknikal filem tidak menjanjikan sebuah karya itu bagus. Sebaliknya fahami dulu teknik bercerita dan cara untuk membentuk perjalanan karekter agar ia lebih menarik.
Jika anda mengharapkan filem ini sehebat filem perlumbaan sedia ada, baik tempatan atau antarabangsa, rasanya anda pasti kecewa!
KL WANGAN
• ARAHAN: Pekin Ibrahim
• PELAKON: Faizal Hussein, Pekin Ibrahim, Kazuto Soon, Emily Lim, Jasmine Suraya, Xu Ping, Kodi Rasheed, Kamarul Hj Yusoff, Donny Alamshah, Datuk Yusof Haslam
• GENRE: Aksi drama
• TAYANGAN: 21 Disember 2017

Sumber : Harian Metro

Comments

Popular Posts