Kerana boyfriend, sanggup belasah ibu



POLIS menahan wanita 21 tahun selepas membelasah ibunya sendiri kerana tidak membenarkannya membawa masuk teman lelaki di dalam rumah di Relau, Georgetown, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kejadian berlaku 8 pagi sewaktu mangsa berusia 48 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, berada di rumah.
Beliau berkata, ketika itu anak perempuan mangsa berusia 21 tahun pulang ke rumah bersama teman lelakinya lalu hendak mahu ke dalam rumah, tetapi tidak dibenarkan.
"Akibat keengganan mangsa, berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan anak perempuannya sebelum dipukul dengan 'pengunci mangga' pintu menyebabkan dia cedera dan calar di bahagian muka.
"Anak perempuan mangsa kemudian keluar dari rumah sebelum satu laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Nibong kira-kira 10.25 pagi pada hari sama," katanya.
Anuar berkata, suspek berjaya ditahan di Bayan Lepas 1.30 tengah hari semalam dan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, suspek yang tidak bekerja tidak mengaku memukul ibunya dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatang kecederaan dan sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
"Suspek dibawa ke mahkamah hari ini dan direman bermula hari ini hingga 22 Disember.
"Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 18A Akta Keganasan Rumahtangga 1994," katanya.

Sumber : Harian Metro

Comments

Popular Posts