Lelaki muda pun ok



WALAUPUN sudah dua kali gagal dalam perkahwinan pelakon jelita Rita Rudaini, 40, tidak pernah menolak untuk berkahwin lagi andai bertemu jodoh pada masa akan datang.
Rita juga tidak menolak sekiranya dia bertemu jodoh dengan lelaki yang jauh lebih muda berbanding dirinya asal saja lelaki terbabit boleh menerima dan memikul tanggung jawab sebagai bapa kepada dua anak lelakinya.
Rita menjelaskan bagaimanapun soal jodoh bukan keutamaan buat dirinya sekarang sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 9 dan Airit Qaqa Arjuna, 6, yang sedang membesar.
“Usia bukanlah faktor penentu andai saya bertemu jodoh pada masa hadapan. Bagaimanapun pada saya, lelaki itu harus boleh menerima anak-anak saya.
“Bukan setakat boleh menerima, lelaki itu juga harus boleh memikul tanggung jawab melaksanakan tugas sebagai bapa kepada Rayyan dan Arjuna,” katanya, hari ini.
Bercerita lanjut mengenai perkara itu, Rita berkata dia tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana lelaki sekarang dan tidak menjadikan ia sebagai perkara penting dalam hidup.
“Bukan mahu menolak jodoh sebaliknya saya lebih senang memberikan perhatian kepada Rayyan dan Arjuna tambahan pula pada tahun hadapan Arjuna akan mula bersekolah dan memasuki darjah satu,” katanya.
Sebelum ini, Rita pernah bernikah dengan pengulas sukan TV3, Akbar Sahari namun mereka bercerai pada 2001 dan disahkan mahkamah pada 2004.
Rita bernikah di sempadan Thailand dengan pemain bola sepak negara, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak pada 2008 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Mereka bagaimanapun bercerai pada 2013 kerana perkahwinan tidak direstui keluarga Aidil.

Sumber : Harian Metro

Comments

Popular Posts