'Sedih, syukur dapat mandikan jenazah anak-anak'



“WALAUPUN teramat sedih, saya dan isteri tetap bersyukur serta puas hati dapat memandi dan kafankan jenazah anak kami,” kata Wan Mohd Kamaruzaman Wan Muhamad, 56, bapa kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Pekan, semalam.
Dia dan isteri, Rosnani Ibrahim, 53, langsung tidak menyangka dugaan berat itu menimpa ketika mereka sedang mengerjakan umrah di Tanah Suci.
“Sebelum saya dan isteri berangkat, kami semua amat gembira dan sempat menasihati ketiga-tiga mereka supaya berhati-hati dalam perjalanan pulang ke Kemaman.
“Saya juga sempat minta mereka mendoakan kesihatan kami berdua sepanjang di Tanah Suci, tak sangka pula mereka yang pergi dulu,” katanya ketika ditemui di Kemaman, hari ini.
Pilunya hati pasangan itu apabila dimaklumkan tiga anak kesayangan mereka, Wan Nor Afifah Wan Mohd Kamaruzzaman, 28, Wan Nor Athirah Wan Mohd Kamaruzaman, 27 dan Wan Mohd Mahathir Wan Mohd Kamaruzaman, 14, meninggal dunia dalam kemalangan terbabit, sehari selepas tiba di Madinah.
Dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, mangsa bersama ibu saudara, Salmah Ibrahim, 56 dan anak Salmah, Aliyani Zawawi, 25, yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV), Cherry Easter terjunam ke dalam parit sebelum disedari orang ramai, kira-kira 7 pagi.
Salmah dan Aliyani yang cedera dikejarkan untuk mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
Jenazah ketiga-tiga beradik itu siap dikafankan di Hospital Kemaman sebelum disolatkan di Masjid Jamek Kampung Binjai, kira-kira 7.45 malam ini.
Semua mangsa kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Binjai kira-kira jam 8 malam.

Sumber : Harian Metro

Comments

Popular Posts