Filem kontroversi, Padmaavat ditunda tayangan di Malaysia


FILEM terbaru arahan Sanjay Leela Bhansali, Padmaavat bukan hanya kontroversi di negara asalnya sahaja, tetapi turut mengudang pertikaian di beberapa negara lain juga berkaitan isu panas yang menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.

Terbaru filem yang menampilkan aktres jelita, Deepika Padukone sebagai teraju utama ini turut berdepan hal yang sama apabila tayangan yang sepatutnya masuk pawagam pada hari ini, ditangguhkan tayangannya kepada tarikh yang akan ditentukan kelak.

Perkara ini telah dimaklumkan oleh pengedar filem tersebut di Malaysia, Antenna  Entertainment menerusi laman Facebook rasmi mereka yang menyatakan tayangan Padmaavat telah ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu semula oleh pihak Lembaga Penapisan Filem.


Pengumuman itu ternyata telah mengecewakan ramai peminat filem Hindi di Malaysia terutamanya pengikut setia karya Sanjay Leela Bhansali yang sentiasa tampil dengan kelainan dalam setiap filemnya.

Pengerusi LPF Mohd Zamberi Abdul Aziz dalam satu kenyataannya berkata, jalan cerita filem tersebut dikatakan boleh menimbulkan kebimbangan serius kepada masyarakat Muslim di negara ini kerana ia menyentuh isu sensitiviti Islam.

Terdahulu, Padmaavat turut mencetuskan kekecohan di India apabila satu rusuhan besar-besaran telah berlaku sebagai bantahan terhadap tayangan filem ini. Malah pengarah dan pelakon utamanya turut menerima ancaman bunuh daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sumber : Sinar Harian

Comments

Popular Posts