Skip to main content

Malang si peragut terbabas jatuh parit


PASIR PUTEH 31 Jan. - Seorang lelaki yang cuba meragut seorang wanita mengandung menemui padah apabila mereka ditangkap selepas motosikal yang ditunggang penjenayah terbabit terbabas dan jatuh ke dalam parit di sebatang jalan, di Kampung Chengal Pulas, Gaal, dekat sini, semalam.
Ketika kejadian kira-kira pukul 5.30 petang semalam itu berlaku ketika mangsa, Nur Liana Izati Mohd. Nor, 23, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum kedua-dua suspek yang mengekorinya cuba menarik beg galas dalam raga motosikalnya.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, bagaimanapun beg tersebut tersangkut dan motosikal yang ditunggang oleh suspek serta mangsa terjatuh ke dalam parit.
"Kejadian itu disaksikan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan di kawasan berdekatan. Suspek terbabit yang dipercayai penagih dadah bertindak melarikan diri dan berlaku pergelutan namun berjaya ditangkap dengan bantuan beberapa penduduk.
"Manakala mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Rozak berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau iaitu Seksyen 3 (1) Akta Pemulihan Dadah (APD) 1983; Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang melibatkan kes curi dan ragut dan  Seksyen 15 (1)(a) Akata Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Katanya, mangsa adalah penduduk tempatan yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat milik kerajaan negeri manakala suspek dikenal pasti berasal dari Kampung Baru Murni,  Machang.
"Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas saringan ujian air kencing dijalankan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya.
Menurutnya, mangsa yang mengalami kesakitan di bahagian dada, paha sebelah kiri dan kedua-dua kaki. tanpa kecederaan badan sudah dibenarkan keluar dari hospital hari ini.


Sumber : Utusan Online

Comments

Popular Posts