Sebab WeChat rupanya
BERBALAS kutukan di WeChat dipercayai punca sekumpulan pelajar sekolah menengah bergaduh di jalan raya berdekatan Harbour Square di Sandakan, yang videonya tular di media sosial, semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, pihaknya hanya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.30 pagi semalam.
Katanya, susulan kejadian, polis hari ini menahan tujuh pelajar di dua sekolah menengah berusia antara 15 dan 17 tahun, yang dipercayai terbabit dengan pergaduhan itu.
"Siasatan mendapati pergaduhan dipercayai berpunca daripada seorang pelajar memuat naik gambar pelajar lelaki dari sekolah lain melalui aplikasi WeChat.
"Berlaku ejek-mengejek antara mereka sehingga membawa kepada pergaduhan seperti dalam video berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Azhar berkata, selepas soal siasat, semua pelajar itu dibebaskan dengan jaminan polis.
"Bagaimanapun, kita masih mengenal pasti jika ada pelajar lain yang terbabit dengan kejadian itu," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Harian Metro sebelum ini melaporkan video sekumpulan remaja lelaki bergaduh di tengah jalan raya di Sandakan yang tular di Facebook.
Sementara itu, seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, pada kejadian Jumaat lalu itu, pelajar terbabit bergaduh di terminal bas sehingga ke kawasan berhampiran Harbour Square.
"Pada mulanya mereka saling cabar-mencabar di terminal itu. Namun, pergaduhan itu sudah dileraikan oleh orang awam.
"Mereka kemudiannya terus bergaduh sehingga di kawasan jalan raya berdekatan Harbour Square," katanya.
Lelaki itu mendakwa, insiden pelajar bergaduh di bandar ini sudah semakin menjadi-jadi.
Katanya, sebagai peniaga, mereka sudah lali dengan kejadian itu.
"Kita sukar untuk menegur budak-budak ini. Lagipun, mereka tidak mendengar nasihat kami," katanya.
Sehubungan itu, dia meminta pihak berwajib supaya memantau perkara itu.
"Kejadian ini menyebabkan orang awam yang melalui kawasan berkenaan berasa bimbang. Ia juga mengganggu perniagaan kami," katanya.
Sumber : Harian Metro



Comments
Post a Comment