Tak riak, kongsi pengalaman saja - Dr. Vida
IPOH 30 Jan. - Tidak terlintas langsung di hatinya untuk menunjuk kekayaan yang dimiliki, sebaliknya Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida hanya mahu berkongsi pengalaman.
Jelas Dr. Vida, kekayaan yang diperoleh bukan datang bergolek kerana beliau pernah melalui zaman nak makan pun tak ada duit dan terpaksa bekerja untuk memenuhi keperluan sendiri.
"Kalau dikenang zaman dulu memang sedih. Bayangkan nak makan pun tak ada duit. Pergi sekolah tak bawa duit dan bila kena beli baju pengakap untuk ko-kurikulum tak boleh nak beli. Semua perancangan saya terbantut kerana tak ada duit.
"Untuk mencari duit saya berniaga kacang putih, nasi lemak dan alat kosmetik. Waktu tu saya darjah enam. Bila orang tengok budak yang menjual, mereka kasihan dan beli. Saya sudah merasai susah senang berniaga. Jadi setiap sen yang dapat, saya amat hargai kerana semua itu hasil usaha sendiri. Saya sentiasa bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan," katanya.
Meskipun hidupnya dilimpahi dengan kekayaan, Dr. Vida yang sudah tiga kali mendirikan rumah tangga mengakui ada masa dan ketika hatinya terasa sunyi. Malah jika berseorangan, air mata sering menjadi peneman.
Lantaran itu beliau sangat aktif di laman sosial terutama Instagram untuk berkomunikasi dengan orang ramai sama ada mempromosi produk atau menuar-uarkan aktiviti seninya. Jelas Dr. Vida, apa yang ditampilkan menerusi Instagram miliknya bukan bertujuan untuk menunjuk kemewahan tapi sekadar memberi inspirasi kepada orang ramai.
"Ramai yang kata saya tunjuk sebab riak. Jangan kaitkan saya menunjuk itu sebagai riak. Ambillah sesuatu yang iktibar dan boleh memberi inspirasi kepada anda. Dulu saya bukan siapa-siapa, hanya seorang cikgu, gaji RM4,000 berapa sangat, saya hanya mampu tengok orang boleh pakai barangan cantik dan makan yang sedap. Ia adalah satu doa bila kita mahu jadi seperti itu, tapi kita kena usaha untuk peroleh itu semua," katanya memberi semangat.
Dr. Vida turut menangkis dakwaan orang ramai yang mempertikai tindakannya mengheboh kepada dunia, bila membuat amal jariah.
Katanya, banyak amal jariah yang telah dilakukannya dan dengan kurnia Allah, usianya dipanjangkan biarpun kehidupannya sering dilanda masalah.
"Orang nampak saya ceria tapi ada masa-masanya saya tertekan, terutama selepas anak-anak meninggal dunia tapi saya berjaya atasi kesedihan itu. Saya berpegang pada satu, kalau mahu usia panjang, marilah kita bersedekah kerana doa anak-anak yatim, doa orang teraniaya dan doa anak-anak soleh boleh jadikan kita panjang umur.
"Saya kena banyak kerja untuk saham-saham akhirat kerana banyak lagi impian saya belum terlaksana. Insya-Allah setiap jualan daripada produk Pamoga, saya laburkan untuk saham akhirat. Saya tak cerita sebab saya tahu akad sendiri untuk buat kebajikan seperti bina masjid, sekolah tahfiz atau rumah anak-anak yatim, asalkan ilmu bermaafat dan sedekah," katanya.
Bagi mengumpul saham akhirat, Dr. Vida berhasrat untuk membina rumah anak-anak yatim dan sekolah tahfiz. Sehingga kini beliau sering menghulur bantuan kepada beberapa sekolah tahfiz dan rumah anak-anak yatim di sekitar Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.
"Pada pertengahan Februari ini, saya akan buka sebuah pusat tahfiz sendiri, Raudatul Jannah di Ipoh. Sebenarnya niat nak buka pusat tahfiz ni tercetus sejak tujuh tahun lalu tapi belum dapat silibus. Di pusat itu, bukan saja diajar akademik tapi juga kemahiran.
"Selain menghafal al-Quran, pelajar juga ada kemahiran memasak, mengendali komputer dan berniaga. Saya akan jadi sebahagian daripada tenaga pengajar. Untuk permulaan, hanya 30 atau 50 pelajar saja yang diambil daripada usia 11 hingga 14 tahun dan mempunyai kelulusan akademi yang okey. Untuk projek ini saya mendapat khidmat nasihat daripada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah," jelasnya.
Sumber : Utusan Online
Comments
Post a Comment