3 Anggota Imigresen Gempur Pusat Maksiat Cedera
KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur pusat-pusat maksiat di sekitar kawasan Kamunting, Perak pada 25 Februari lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, seramai 47 pegawai JIM termasuk dari Unit Operasi Khas (QRT) terlibat dalam operasi itu.
“Dalam operasi yang bermula pukul 2 petang itu, sebanyak tujuh premis menawarkan perkhidmatan urutan badan dan seks telah digempur.
“Hasil pemeriksaan di semua premis, seramai 37 orang warga asing telah diperiksa,”katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mustafar berkata, hasil operasi itu JIM menahan 18 wanita warga Thailand, dua wanita warga Filipina, seorang wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Indonesia.
Menurut beliau, kesemua wanita warga asing terbabit disyaki bekerja sebagai tukang urut dan khidmat seks di pusat maksiat yang diserbu terbabit.
Tambah beliau, JIM turut menahan seorang lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki bekerja sebagai penjaga premis.
Jelas beliau, seramai tiga warga Malaysia yang merupakan pemilik dan juga penyelia premis turut ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau memaklumkan, terdapat cubaan melarikan diri dan berlaku beberapa pergelutan dalam serbuan tersebut.
“Dua pegawai JIM cedera dan seorang pegawai menerima tiga jahitan di lengan akibat terkena serpihan kaca pintu premis selepas salah seorang penjaga premis menghempas pintu hadapan premis dan cuba melarikan diri melalui pintu belakang premis.
“Cubaan tersebut digagalkan oleh anggota Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) .yang telah melakukan kepungan awal sebelum serbuan dilakukan,” katanya.
Sumber : MyNewsHub.cc
Comments
Post a Comment