Awek 'kantoi' curi motosikal
DUA remaja perempuan yang juga sepupu berusia 14 dan 16 tahun ditahan kerana disyaki mencuri motosikal di Kampung Tanjong Dedalu, Parit, Rabu lalu.
Dalam kejadian 6.45 pagi, mereka mencuri motosikal Modenas Kriss milik seorang suri rumah yang diletakkan di bawah rumah.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, remaja berusia 14 tahun terbabit masih bersekolah, manakala sepupunya pula sudah bekerja di sebuah kedai makan.
Katanya, mereka dipercayai mencuri motosikal itu untuk kegunaan berulang-alik ke tempat kerjanya.
"Mereka menggunakan anak kunci motosikal lain untuk membuka kunci pada 'handle' sebelum menolak keluar dan melarikannya," katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Katanya, kegiatan mereka berjaya dikesan apabila remaja itu ditahan di rumah masing-masing, sehari selepas kejadian dilaporkan.
"Motosikal bernilai RM1,000 itu turut dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.
Sumber : Harian Metro
Comments
Post a Comment