Mak pergi bercuti, tinggalkan anak dengan pistol


SEORANG wanita meninggalkan empat anaknya berusia enam hingga 12 tahun tanpa pemantauan dewasa dengan pistol sebagai perlindungan untuk bercuti di Jerman selama hampir dua minggu.
Erin Macke dari Johnston, Iowa mengaku atas empat tuduhan membahayakan kanak-kanak. Dia sebelum ini turut didakwa atas kesalahan senjata api, yang digugurkan susulan pengakuannya.
Erin, 31, yang berdepan hukuman penjara dua tahun bagi setiap tuduhan, gagal mendapatkan pengasuh untuk menjaga anaknya - sepasang kembar berusia 12 tahun dan dua yang lain berusia enam serta tujuh tahun - sebelum bercuti di Jerman pada 20 September tahun lalu.
Keesokannya, seorang anak menghubungi bapanya mengadu mereka ditinggalkan menyebabkan lelaki itu menelefon polis.
KCCI melaporkan, pekerja kebajikan yang membuat pemeriksaan mendapati mereka ditinggalkan, manakala pistol diletakkan atas meja dengan dua kelopak secara terbuka. Kanak-kanak berkenaan berkata, ibu mereka dijadualkan bercuti di Jerman sehingga 1 Oktober.
Polis kemudian menghubungi Erin dan mengarahkannya pulang serta-merta, namun wanita itu cuma kembali pada 27 September sebelum terus ditahan.
Sepanjang tempoh itu dia sempat memuat naik gambar ke Instagram menceritakan keseronokannya bercuti.

Sumber : Harian Metro

Comments

Popular Posts