Tetamu Beranak Di Resepsi, Pengantin Anggap Ada ‘Ong’!


BANGKOK – Sepasang pengantin di daerah Sikhiu, Nakhon Ratchasima, di sini, telah menerima ‘hadiah’ paling bernilai apabila salah seorang tetamu bersalin di majlis perkahwinan mereka!

Kandungan Nattaporn Tesrit, yang merupakan rakan baik pengantin perempuan iaitu Mayuree Kumchanteuk, hampir mencecah sembilan bulan apabila dia menghadiri majlis rakannya itu.
Namun tanpa disangka, semasa menunggu kehadiran rombongan penganting lelaki, Nattaporn tiba-tiba berasa sakit bersalin.
Keadaan menjadi gamat apabila Nattaporn yang dalam kesakitan itu cuba ditenangkan oleh tetamu lain yang hadir.

Ibu muda itu juga telah dibawa ke bawah sebatang pokok sementara menunggu bantuan daripada hospital berdekatan.
Bagaimanapun, semasa pasukan keselamatan tiba di tempat kejadian, Nattaporn sudahpun dalam proses melahirkan bayinya.
Dengan bantuan pegawai kesihatan, wanita itu selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.2 kilogram yang comel dan cukup sifat.
Tidak mahu melepaskan peluang, pengantin perempuan itu mengucapkan tahniah kepada Nattaporn dan mengambil gambar bersama-sama bayi tersebut. Nattaporn kemudiannya dipindahkan ke hospital berdekatan untuk diberi rawatan.
Meskipun majlis itu ‘terbantut’ seketika semasa Nattaporn melahirkan bayinya, semua tetamu berasa gembira kerana dapat jadi sebahagian daripada insiden tersebut.
Ini kerana dalam kepercayaan Thai, kelahiran bayi yang sempurna dianggap sebagai petanda nasib yang baik dan menguntungkan.

Sumber : MyNewsHub.cc

Comments

Popular Posts