Tabiat Mengantuk Selepas Makan… Itu Tidak Normal!
ADAKAH anda sering kali mengalami masalah mengantuk selepas makan dan merasa malas untuk melakukan kerja dan beraktiviti? Jika ada, itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang normal.
Baru sahaja mahu memulakan kerja selepas makan, mata terasa amat berat, fikiran sudah ‘melayang-layang’ dan mula menguap. Gula-gula pudina pun tidak mampu segarkan anda kembali!
Situasi ini kebiasaanya pernah dialami oleh setiap individu terutamanya selepas makan dan berbuka puasa.
Berikut terdapat beberapa punca tabiat ini dapat kenal pasti mudah berlaku kepada individu dan penyelesaian yang dicadangkan berdasarkan portal online Hospital Islam Az-Zahrah.
1. Pengambilan Karbohidrat Yang Tinggi
Makanan yang tinggi kandungan karbohidrat seperti roti, nasi, pasta, biskut, pancake dan segala jenis makanan bertepung akan ditukarkan menjadi glukos bila dicerna.
Pengambilan glukos yang banyak memberi peluang insulin untuk dilepaskan. Insulin yang tinggi terutamanya kepada individu yang mempunyai masalah rintangan insulin akan menyebabkan rasa mengantuk. Rintangan insulin berlaku apabila sel-sel organ mempunyai masalah menggunakan insulin.
Insulin yang tinggi dalam tubuh akan mengurangkan paras gula secara mendadak yang memberi kesan gula tidak sampai di bahagian otak, seterusnya membawa rasa letih dan mengantuk.
Namun tidak dinafikan organ-organ tertentu dalam tubuh kita memerlukan insulin untuk membantu mereka bekerja tetapi pengambilan insulin tidak boleh terlampau banyak. Pengambilan protein dan salad dalam hidangan adalah baik dan boleh diamalkan.
2. Makanan Tidak Hadam Dengan Sempurna
Secara asasnya, sistem penghadaman akan bekerja ekstra jika makanan yang diambil mempunyai kadar glukosa yang tinggi ataupun ia akan terjadi bila anda makan dalam jumlah yang banyak. Jadi tenaga yang diperlukan juga banyak untuk proses pencernaan tersebut.
Semakin banyak makanan yang diambil, semkain sukar makanan tersebut dihadamkan. Hasilnya anda merasa letih, kembung dan sukar untuk fokus.
Bagi menyelesaikan masalah ini, pengambilan cuka epal yang ditambah ke dalam makanan atau diambil bersama air suam mampu membantu penghadaman yang lebih optimum.
Jangan lupa tambahkan lemak baik dalam diet anda kerana kehadiran lemak baik mampu kenyang lebih lama dan kepuasan dalam menikmati makanan. Antara sumber lemak baik adalah dari minyak kelapa dara, telur, ikan salmon, kacang seperti walnutdan juga minyak zaitun.
3. Tabiat Tidur
Tabiat tidur memberi impak yang besar terhadap kehidupan harian anda. Corak tidur yang tidak teratur juga boleh menyebabkan rasa mengantuk selepas makan kerana badan berasa kenyang dan rileks selepas makan, menjadikan tubuh terasa seperti sedang berehat sekali gus boleh rasa mengantuk.
Selain itu juga, waktu tidur yang tidak mencukupi antara punca anda cepat berasa letih dan mengantuk di siang hari yang mampu membawa penyakit.
Anda perlu perbaiki kualiti dan tabiat tidur anda untuk mengelakkan stress. Tingkatkan aktiviti fizikal anda secara berkala, boleh membantu anda mendapatkan tidur malam yang baik. Adalah disyorkan supaya anda mengelakkan tidur sebentar dan tidur petang (napping) jika anda mengalami masalah tidur pada waktu malam.
4. Keadaan Kesihatan Diri
Sekiranya anda tetap dan sering berasa mengantuk, mungkin juga adalah tanda-tanda penyakit seperti penyakit celiac, anemia, food intolerance, sleep apnea, alahan atau masalah kelenjar tiroid yang tidak aktif.
Anda dinasihatkan rujuk doktor jika anda mengalami keadaan ini atau jika anda sering tidur selepas makan.
5. Sikap ‘Malas’ Selepas Makan
Anda disarankan untuk kekal aktif dan lebih bertenaga dengan melakukan aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh dan bersenam secara berkala sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
Jika tiada masa untuk bersenam, lebihkan berjalan selepas makan. Anda juga boleh meletakkan kenderaan anda jauh dan berjalan ketempat kerja atau menggunakan tangga. Mungkin dengan ini mengantuk selepas makan akan dapat dikurangkan.
Sumber : MyNewsHub.cc
Comments
Post a Comment